"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Mengapa dia harus dijadikan piala rebutan hanya untuk menafikan tanggungjawab yang telah diamanahkan Tuhan
Walaupun ibu lebih berhak untuk menjaga anaknya yang masih kecil, namun terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kelayakan itu hilang. Faktor-faktor tersebut ada dinyatakan di dalam Seksyen 84 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pahang), iaitu:-
i) jika ibu itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan anak tersebut dengan syarat perkahwinan itu akan menjejaskan kebajikan anak itu;
ii) jika ibu itu berkelakuan buruk dan boleh memberikan kesan negatif kepada si anak;
iii) jika ibu itu berpindah dari alamat asal bagi tujuan menghalang bapa kepada anak itu atau bekas suami itu dari mendapat akses secara fizikal terhadap anak itu;
iv) jika ibu itu murtad; dan
v) jika ibu itu mencuaikan dan/atau menganiaya anak tersebut.
Seorang bapa itu perlu mengemukakan bukti yang jelas di Mahkamah, bagi meyakinkan Mahkamah bahawa kebajikan anak yang pada ketika berada itu di dalam jagaan bekas isteri beliau telah diabaikan dan/atau tindakan si ibu telah menyebabkan kehidupan anak itu menderita atau boleh memberi kesan negatif kepada anak tersebut samaada secara mental mahupun fizikal. Mahkamah akan membenarkan Perintah Hadhanah diubah dan diserahkan kepada bapa jika ternyata anak itu hidup dalam keadaan yang teraniaya atau tidak dijaga dengan sebaiknya.
Namun, alasan tidak dapat berjumpa dengan anak kerana pelbagai helah dibuat, bukanlah alasan kukuh untuk mengubah Perintah Hadhanah itu. Sebaliknya, pihak yang tergugat kerana dihalang untuk mendapat hak bersama anak itu boleh membuat permohonan di Mahkamah bagi memastikan pihak yang mungkir itu mematuhi Perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah tersebut. Sekiranya kemungkiran itu berterusan, maka satu Perintah Pengkomitan ke penjara boleh dimohon di Mahkamah.
Kerana itu, anda perlu mendapatkan khidmat peguam sekiranya anda percaya anda perlu mengambil tindakan untuk menjaga kepentingan anak anda apabila kebajikan anak itu tidak dijaga dengan baik oleh hadhinah. Pun begitu, sangkaan itu perlu ada asasnya dan bukan sekadar prasangka negatif terhadap hadhinah tersebut. Hubungi kami untuk berbicara. Insyaallah, kami akan memberikan nasihat untuk tindakan terbaik yang anda boleh lakukan.