"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Adakah ini suatu pengorbanan untuk sebuah kebahagiaan
Ramai dikalangan para isteri menjadi hilang punca dan arah apabila mengetahui bahawa suami mereka berhasrat untuk berkahwin lagi. Ada yang beranggapan bahawa hasrat yang dikemukakan oleh suami mereka itu umpama satu pengisytiharan perang yang menuntut korban. Mereka merasa sedih kerana sikap suami yang sanggup mengorbankan kebahagian rumahtangga dan anak-anak hanya untuk bersama dengan wanita lain. Lebih mengecewakan apabila suami itu sanggup menambah beban kewangan sedangkan beliau sendiri tidak mampu untuk memberikan nafkah secukupnya kepada ahli keluarga sedia ada. Mereka cukup pasti sang suami tidak mungkin boleh berlaku adil kepada mereka dan anak-anak setelah mempunyai rumah kedua nanti. Untuk itu, hanya ada satu jalan keluar atau penyelesaian yang boleh mereka fikirkan ..... . Namun, betulkah keputusan untuk bercerai itu merupakan jalan penyelesaian terbaik buat mereka dan anak-anak.
Sebelum anda terjerumus dalam perangkap perceraian itu, kami sarankan anda bertenang dahulu.
Anda perlu tahu bahawa sebelum seseorang suami boleh berpoligami, beliau perlu mendapatkan Perintah Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Untuk itu, terdapat beberapa perkara yang perlu beliau buktikan sebelum kebenaran untuk berpoligami itu diberikan oleh Mahkamah. Seksyen 23 dan 74 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pahang) memperuntukkan syarat-syarat yang perlu dibuktikan dan dipenuhi oleh suami dalam permohonan poligami, seperti:-
i) alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu; seperti kemandulan, keuzuran jasmani, kegagalan dan keengganan untuk persetubuhan, gila dan sebagainya;
ii) kemampuan kewangan suami dengan melihat kepada komitmen dan kewajipan tanggungan yang perlu dipenuhi ketika itu;
ii) bilangan orang tanggungan sedia ada dan yang akan menjadi tanggungannya;
iv) pandangan isteri sedia ada terhadap hasrat suaminya itu;
v) bentuk keadilan yang akan dilaksanakan terhadap kesemua isterinya itu; dan
vi) perkahwinan itu tidak menyebabkan darar syarie atau penderaan dan penderitaan terhadap isterinya itu.
Disamping itu, Mahkamah juga mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Perintah berkaitan perkara-perkara berikut:-
i) penentuan jumlah nafkah anak dan isteri yang perlu dibayar; dan
ii) penentuan bahagian harta sepencarian bagi harta-harta yang diperolehi dalam perkahwinan sedia ada.
Hanya setelah semua itu dibicarakan dan memuaskan hati Mahkamah, barulah suatu kebenaran poligami boleh diberikan. Oleh itu, biarkan proses Mahkamah itu berjalan supaya suami tidak boleh menyalahkan anda sekiranya permohonan beliau ditolak akibat daripada ketidakmampuan beliau sendiri.
Kalaupun beliau berjaya dalam permohonannya, beliau masih lagi perlu berusaha untuk memenuhi tanggunjawab dalam memberikan nafkah secukupnya kepada anda dan anak-anak sebagaimana yang diperintahkan. Beliau juga perlu berlaku adil dalam pembahagian masa dan perhatian kepada kedua-dua keluarga. Jika itu gagal dilaksanakan, maka ianya menjadi alasan kukuh untuk anda mendapatkan Perintah Mahkamah bagi suatu pematuhan.
Dan sekiranya anda dan anak-anak akhirnya menjadi mangsa ketidakadilan itu, anda masih berhak untuk membuat pilihan bagi mengakhiri ikatan perkahwinan itu. Dengan itu anda tidak lagi perlu membuat permohonan nafkah anak dan harta sepencarian yang tentunya akan membabitkan kos yang agak besar. Bukankah itu satu tindakan yang lebih bijak dari anda bersikap 'meroyan' sebelum permohonan itu diputuskan oleh Mahkamah lagi.
Sememangnya sukar untuk melalui saat-saat getir dalam rumahtangga apabila perkara itu berlaku. Kerana itu anda perlu mendapatkan sokongan yang betul dan membuat keputusan serta mengambil tindakan yang bijak dalam menangani masalah tersebut. Kami boleh membantu anda menangani masalah itu dengan baik dan tenang. Untuk itu, izinkan kami membantu anda.