Perlu ker lantik peguam ???
"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Perlu ker lantik peguam ???
Siapakah yang anda akan rujuk apabila mempunyai masalah undang-undang?.
Ada diantara kita yang akan mengutarakan masalah samaada peribadi, rumahtangga atau harta pusaka di media sosial seperti facebook, Instagram, tiktok dan lain-lain. Mungkin sekadar berkongsi masalah atau bertujuan memancing simpati dengan nasib yang menimpa diri. Atau mencari pandangan tentang tindakan yang harus diambil. Atau juga cuba mendapatkan pengesahan bahawa tindakan yang telah kita ambil itu adalah wajar dan selari dengan undang-undang.
Di sebelah sana pula, ada golongan yang membicarakan isu undang-undang di media sosial bagi tujuan mempromosikan produk berteraskan undang-undang yang mereka jual. Contohnya, isu-isu wasiat dan hibah kerana mereka merupakan agen yang menjual uruscara melibatkan penulisan dan penyediaan dokumen wasiat dan hibah itu.
Dan ada juga antaranya yang mempunyai latarbelakang undang-undang tetapi tidak terlibat secara langsung dalam bidang perundangan tersebut. Mereka mungkin mempunyai ijazah undang-undang atau pernah beramal sebagai peguambela dan peguamcara, tetapi diatas sebab-sebab tertentu tidak menceburi bidang undang-undang atau tidak lagi beramal sebagai seorang peguambela dan peguamcara. Pun begitu, mereka tetap menawarkan khidmat nasihat dan membuat dokumen-dokumen hibah dan wasiat atau saman dan permohonan dengan kos yang murah berbanding yang biasanya dikenakan oleh firma guaman.
Mungkin kerana informasi melalui media teknologi itu lebih senang diakses, kekangan masa atau kos yang perlu dikeluarkan membuatkan anda keberatan untuk pergi berjumpa dengan peguam untuk mendapatkan khidmat perundangan tersebut. Namun, siapakah yang boleh mengesahkan bahawa pandangan atau perkhidmatan yang ditawarkan di media sosial itu adalah betul dan bertepatan dengan kehendak dan peruntukkan undang-undang?. Sedarkah anda bahawa mereka yang memberikan pandangan itu tidak mempunyai sebarang ikatan dan tanggungjawab terhadap kesan dan akibat yang mungkin akan menimpa anda akibat bertindak mengikut pandangan mereka itu?.
Dan mungkin juga dokumen-dokumen yang telah disediakan oleh mereka itu sebenarnya tidak boleh disahkan oleh Mahkamah kerana tidak bertepatan dengan kehendak peruntukkan undang-undang itu sendiri. Dan akhirnya anda terpaksa juga merujuk perkara yang sama kepada peguam yang bertauliah dan membuat semula segala dokumen yang telah disediakan oleh agen di media sosial itu. Waktu itu juga anda baru menyedari bahawa kos yang anda keluarkan bagi melantik agen-agen dan memperbetulkan segala kesilapan yang telah dilakukan itu adalah lebih besar berbanding sekiranya perkara itu dibuat mengikut lunas undang-undang yang betul dan oleh peguam yang berkelayakan.
Kesimpulannya adalah, tidak salah untuk kita mencari informasi berkaitan isu undang-undang itu di media sosial. Namun kita perlu tahu sumber informasi itu sendiri samaada ianya ditulis oleh peguam yang bertauliah dan beramal atau oleh jabatan Kerajaan yang berkaitan langsung dengan undang-undang tersebut. Atau ianya dibuat oleh orang yang hanya menulis berdasarkan pengetahuan amnya, pengalaman singkat atau berteraskan emosi mereka ketika itu.
Langkah seterusnya adalah berhubung dan mendapatkan khidmat nasihat terus daripada peguamcara yang beramal dalam bidang tersebut. Peguam atau firma guaman itu mungkin akan mengenakan sedikit fee konsultansi tetapi anda tidak terikat untuk melantik firma guaman yang sama setelah anda membayar fee konsultansi tersebut. Dengan cara itu anda akan mendapat fahaman sebenar kedudukan undang-undang dan bagaimana prosidur dan kesan serta akibat apabila anda membuat sesuatu tindakan atau dokumen undang-undang itu. Anda tidak lagi perlu berada dalam keraguan tentang keesahan tindakan anda itu atau menyesal apabila menyedari bahawa anda telah membayar sesuatu yang tidak boleh diesahkan oleh undang-undang dan Mahkamah. Berfikirlah dan bertindaklah secara bijak supaya anda tidak memaksimumkan kerugian anda kerana fikiran dan tindakan yang tidak bijak itu!.