"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Mengapa dia harus memilih sedangkan dia seharusnya merasa bahagia kerana memiliki keduanya.
Hadhanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Perebutan hak untuk menjadi hadhinah selalunya timbul setelah berlaku perceraian kerana kedua belah pihak tidak dapat mencapai kata sepakat tentang urusan penjagaan anak itu.
Mengikut undang-undang Syariah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Seksyen 82(1) Enakmen Keluarga Islam (Pahang), ibu adalah orang yang paling layak untuk menjaga anak yang masih kecil. Walaupun hak jagaan itu akan tamat setelah anak lelaki berusia tujuh (7) tahun dan anak perempuan itu berusia sembilan (9) tahun, namun Seksyen 85 Enakmen yang sama memperuntukkan bahawa si ibu berhak untuk membuat permohonan di Mahkamah supaya hak jagaan itu dilanjutkan sehingga anak lelaki berusia sembilan (9) tahun dan anak perempuannya berusia sebelas (11) tahun. Jika tiada permohonan lanjutan itu dibuat, maka hak jagaan tersebut akan turun dan beralih kepada si bapa sehingga anak itu mencapai usia mumayyiz iaitu sembilan (9) tahun bagi anak lelaki dan sebelas (11) tahun bagi anak perempuan. Si anak yang telah mencapai usia mumayyiz mempunyai hak untuk memilih samaada untuk tinggal bersama ibu atau bapanya tertakluk kepada persetujuan Mahkamah.
Dalam menentukan hak terhadap hadhanah, Mahkamah perlu menilai beberapa faktor dalam memastikan kebajikan anak itu sentiasa terpelihara. Isu tempat tinggal yang selesa, persekitaran yang sihat, keselamatan, pergaulan adalah antara faktor yang akan dilihat oleh Mahkamah dalam menentukan anak tersebut dapat membesar dalam keadaan yang baik dari segi fizikal dan mental. Di samping itu pekerjaan hadhinah, kemampuan dari segi kewangan dan keperluan material, perhatian dan ruang masa bersama anak tersebut juga akan diambil perhatian. Oleh itu siapa sahaja yang menuntut sebagai hadhinah, perlu mengemukakan segala bukti yang menunjukkan bahawa kebajikan anak itu akan lebih terjaga sekiranya hak itu diberikan kepada mereka. Pun begitu, pihak yang gagal dalam mendapatkan hak jagaan tersebut tetap akan mendapat hak lawatan dan bermalam mengikut kesesuaian.
Peguam anda bukan sahaja perlu menyusun segala bukti yang menunjukkan anda lebih berkelayakan, malahan juga perlu membuktikan mengapa hak hadhanah itu tidak seharusnya diberikan kepada pihak sebelah. Di samping itu, peguam anda juga perlu memikirkan kaedah yang sesuai supaya peruntukkan masa bersama anak itu dapat dibahagikan antara kedua belah pihak dengan adil dan saksama, khususnya ketika cuti persekolahan dan cuti perayaan atau pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.
Peguam kami cukup memahami kaedah dan segala bukti yang diperlukan dalam menuntut hak anda sebagai hadhinah. Hubungi kami sekiranya anda percaya bahawa anda berhak mendapat khidmat guaman yang terbaik.