"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
"Tak kenal maka tak cinta". Begitulah hubungan antara masyarakat awam dengan peguam. Kebanyakan orang awam lebih mengenali peguam berdasarkan cerita-cerita di tv ataupun apa yang dipaparkan melalui media massa. Mereka hanya akan berinteraksi dengan seorang peguam apabila ada keperluan yang melibatkan urusan perundangan sahaja. Kerana itu, wujudnya sentimen dan tafisran yang pelbagai terhadap profesion kepeguaman itu.
Selalunya persoalan yang ditimbulkan adalah, mengapa seorang peguam itu sanggup membela orang yang jelas melakukan jenayah?. Pertamanya, perlu dijelaskan bahawa bukan semua peguam buat kes jenayah samaada jenayah sivil ataupun jenayah syariah. Ada peguam yang hanya mengendalikan kes sivil (bukan jenayah sivil), conveyancing (urusan dokumentasi perundangan) dan tuntutan mal syariah (bukan jenayah syariah). Dan bukan semua peguam jenayah akan ambil apa sahaja kes jenayah yang dibawa kepadanya.
Berbalik kepada persoalan utama tadi, perlu difahami bahawa setiap peguam ada prinsipnya yang tersendiri. Peguam jenayah pastinya akan berpegang pada prinsip "innocent until proven guilty". Bermaksud seseorang itu tidak boleh dihukum bersalah selagi kesalahan itu tidak dibuktikan telah dilakukan olehnya. Dan walaupun betul dia telah melakukan kesalahan jenayah itu, adakah dia melakukan secara sedar dan faham akan kesan dan akibat perlakuan jenayahnya itu. Untuk itu, pihak pendakwaan perlu membuktikan mens rea dan actus reus iaitu kewujudan niat melakukan jenayah dan diikuti dengan perbuatan jenayah itu sendiri.
Seseorang peguam selalunya dan sewajibnya mengetahui fakta dan cerita sebenar sebelum beliau membuat keputusan untuk mewakili anakguamnya itu. Seorang peguam itu mempunyai kewajipan untuk menyimpan rahsia anakguamnya, walaupun beliau mengetahui fakta sebenar dari mulut anakguamnya sendiri. Setelah mengetahui setiap fakta kes itu, maka di situlah akan wujudnya konflik dalaman samaada beliau sanggup mengambil kes tersebut dan berjuang untuk menang bagi membebaskan anakguamnya itu atau menasihati anakguamnya tentang langkah sebenar yang seharusnya diambil atau menolak kes itu walaupun bayaran yang bakal diterima adalah tinggi nilainya.
Di dalam perbicaraan Mahkamah, anda boleh menang samaada berdasarkan fakta dan/atau diatas dasar teknikal dan prosidur. Doktrin "innocent until proven guilty" itu bukan sahaja melihat kepada fakta kes yang perlu dibuktikan dengan kukuh malahan juga kepada isu teknikal. Dan kadangkala fakta itu walaupun benar tetapi tetap tidak boleh dikemukakan atau diterima kerana ianya tidak dikemukakan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Sebab itu dalam kebanyakan kes jenayah samaada sivil ataupun syariah, peguam bela akan lebih menekankan isu teknikal dan prosidur berbanding isu fakta yang sukar untuk dipertikaikan. Mereka mampu memenangi sesuatu kes itu kerana kepakaran mereka dalam mempersoalkan setiap prosidur dan kaedah pembuktian yang digunapakai oleh pihak pendakwaan dalam membuktikan sesuatu pertuduhan itu.
Berbalik pada persoalan tidakkah mereka rasa bersalah mempertahankan pelaku jenayah; jawapan klise adalah bukan kesalahan itu yang mereka nafikan, tetapi pihak yang mendakwa itu wajib untuk membuktikan dengan sekukuhnya bahawa sememangnya anakguam mereka yang melakukan perbuatan jenayah itu. Mereka hanya menjalankan peranan "check and balance" supaya undang-undang dan kaedah siasatan serta pertuduhan itu tidak diambil ringan dan dibuat secara sambil lewa oleh pihak pendakwaan. Jadi sekiranya pelaku itu terlepas daripada hukuman kerana lemahnya sistem siasatan dalam pendakwaan, maka pihak pendakwaanlah yang seharusnya dipersalahkan, bukannya pihak peguam pembela. Kerana itu, pihak pendakwaan wajib memastikan mereka menjalankan tugas siasatan dan pengumpulan bukti dengan cekap, teliti dan efisien, serta mematuhi segala prosidur yang telah ditetapkan kerana kesilapan teknikal dalam kerja rutin yang dijalankan itu boleh menyebabkan penjenayah itu terlepas daripada hukuman.
Adalah menjadi prinsip kami di firma ini, bahawa kami tidak akan membuat dan mengambil kes jenayah samaada jenayah sivil mahupun jenayah syariah MELAINKAN dari segi faktanya pertuduhan itu tidak seharusnya dikenakan terhadap tertuduh itu. Kerana jarang sekali, pelaku jenayah tersebut dianiayai atau berada ditempat yang salah dan diwaktu yang salah. Walaupun setiap orang berhak untuk mendapat peluang kedua tetapi soalnya adakah dia betul-betul telah bertaubat dan insaf, atau itu hanya kata-kata peguam sahaja untuk menjustifikasikan amalannya itu. Dan seharusnya pesalah itu pasrah terhadap hukuman yang menantinya jika dia betul-betul mencari keredhaan Tuhan yang maha Esa lagi maha Kuasa dan bukannya minta dilepaskan daripada kesalahan jenayah yang telah dilakukan.
Bagi peguam bela itu pula, mereka seharusnya bertanyakan diri sendiri bahawa sekiranya mereka berpegang kepada doktrine 'innocent until proven guilty' atau jawapan klise bahawa mereka hanya bertindak supaya 'check and balance' itu berlaku, sedangkan mereka mengetahui dengan tanpa syak dan ragu bahawa tertuduh itu sememangnya pelaku jenayah itu, maka bolehkah mereka menggunakan alasan yang sama sekiranya perlakuan jenayah itu dilakukan terhadap ibu, isteri atau ahli keluarga mereka sendiri. Sanggupkah mereka mengambil kes itu dan membela tertuduh dengan menyatakan kepada mangsa yang merupakan ahli keluarga mereka sendiri, bahawa mereka perlu sedar bahawa beliau hanya menjalankan tugas sebagai peguam yang berprinsip !!!. Jika mereka sanggup mengatakan: "It's nothing personal, I'm a professional", maka ..... I rest my case ..... .