"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Masih ramai dikalangan masyarakat yang keliru beza antara wasiat dan hibah. Malahan ada yang menyifatkan pesanan si mati memberikan hartanya sebagai wasiat, sedangkan pesanan itu tidak lebih kepada amanat sahaja. Oleh yang demikian, sekiranya anda benar-benar berhasrat untuk membuat wasiat, maka ada beberapa perkara pokok yang anda perlu fahami terlebih dahulu.
Wasiat mengikut istilah undang-undang syarie adalah iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat daripada hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya. Walaupun wasiat selalunya dikaitkan dengan pemberian harta oleh si mati kepada penerima setelah kematiannya, namun wasiat juga boleh dibuat dalam bentuk memaklumkan hutang atau liabiliti si mati yang kena dibayar oleh waris-waris. Atau juga suatu pesanan nasihat sebagaimana wasiat Rasulullah s.a.w. :
Daripada Mu’adz bin Jabal RA berkata; “Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara. Jangan menyengutukan Allah dengan sesuatu apapun walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar. Jangan kamu menderhakai kedua-dua ibu bapa kamu meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta-benda kamu. Janganlah kamu meninggalkan solat fardu dengan sengaja kerana sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas daripada tanggungjawab Allah S.W.T. Jangan sekali-kali minun arak kerana perbuatan ini adalah punca segala maksiat. Jauhilah diri kamu daripada perbuatan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah S.W.T. Jangan lari dari medan pertempuran walaupun semua rakan kamu telah terbunuh. Jangan berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya. Belanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan kamu. Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik. Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah S.W.T.”
(HR Ahmad No: 21060). Status: Hadis Hassan
Walaupun hukum membuat wasiat adalah harus, namun ianya amat digalakkan di dalam Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Ma'idah ayat 106 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati,
ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu,
atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan kamu,
jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما حق امرئ مسلم، له شيئ يوصى به يبيت ليلتين إلا ووصيته عنده
“Tiada hak (patut) bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan
dibiarkan hingga dua malam melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut sunnah
dan dia mati sebagai seorang yang bertaqwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan”
(Hadis riwayat Ibn Majah).
Namun begitu, suatu wasiat itu tidak boleh dibuat dengan tujuan memberikan harta peninggalan itu kepada waris yang berhak mendapat faraid, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :
أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ ل
“Sesungguhnya Allah S.W.T telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(hadis riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)
Tambahan lagi, wasiat hanya boleh dibahagikan setakat 1/3 bahagian sahaja. Oleh itu sekiranya seseorang itu mewasiatkan hartanya kepada anaknya sendiri atau melebihi 1/3 bahagian, maka wasiat itu adalah tidak sah disegi hukum syarak melainkan dengan persetujuan waris-waris.
Walaupun wasiat boleh dibuat secara lisan namun adalah digalakkan supaya ianya dibuat secara bertulis bagi mengelakkan pertikaian tentang keesahannya. Ia juga perlu memenuhi syarat dan rukun sebagaimana yang digariskan oleh syarak dan dinyatakan di dalam Enakmen Wasiat Orang Islam, 2017. Melantik orang yang tidak berkelayakan atau mempunyai ilmu, kemahiran dan pengalaman dalam menyediakan dokumen wasiat mungkin akan menjadikan dokumen itu suatu kertas kosong yang tiada nilainya. Lebih malang lagi, anda mungkin terpaksa mengeluarkan kos yang mahal untuk suatu yang tidak beharga di sisi undang-undang. Atau mungkin dokumen itu sekiranya dilaksanakan akan menyebabkan hak waris ke atas harta yang sama dinafikan kerana kejahilan pihak pelaksana.
Oleh itu, dapatkan nasihat yang betul sebelum anda membuat sebarang tindakan yang salah dan menyerahkan harta pesaka dengan tidak berlandaskan hukum yang benar. Hubungi kami. Kami sedia membantu anda dalam memahami dan melaksanakan wasiat si mati mengikut lunas undang-undang syarie.