"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Oleh : Pn. Hazlina binti Daud
Istilah Harta Sepencarian secara asasnya telahpun kami nyatakan di dalam topik Harta di dalam webpage ini. Secara umumnya tuntutan harta sepencarian timbul dalam tiga keadaan iaitu :-
i. Kematian;
ii. Perceraian; dan
iii. Poligami
Di bawah Arahan Amalan No. 5/2003, harta sepencarian boleh dibuat semasa atau selepas tuntutan perceraian atau selepas kematian mana-mana pihak. Suami/isteri yang kematian pasangannya boleh menuntut harta sepencarian setelah kematian pasangannya dengan syarat harta itu diperolehi dalam tempoh perkahwinan.
Dalam permohonan itu, semua waris yang berhak ke atas harta simati sebagai pewaris perlu dijadikan sebagai Defendan. Dan sekiranya ada dikalangan waris tersebut yang belum cukup umur atau tidak berkeupayaan mengikut istilah undang-undang, maka permohonan untuk melantik sahabat wakil kepada waris-waris itu perlu dibuat terlebih dahulu di Mahkamah.
Mengikut Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 23/06/2005, permohonan harta sepencarian perlu dibuat dan dibicarakan terlebih dahulu sebelum permohonan faraid. Ianya kerana bahagian faraid hanya akan ditentukan daripada bahagian baki setelah tolakan harta sepencarian dibuat. Dan bahagian faraid yang diterima oleh suami/isteri kepada simati itu nantinya akan dicampurkan dengan jumlah yang diterima daripada harta sepencarian bagi menentukan jumlah sebenar yang diperolehi oleh waris-waris.
Sebagai contohnya, seorang suami yang meninggal dunia dengan meninggalkan harta pusaka untuk diwarisi oleh seorang isteri dan seorang anak lelaki serta dua orang anak perempuan. Isteri tersebut berhak untuk mendapat harta sepencarian ke atas harta pusaka itu sekiranya beliau berjaya membuktikan sumbangannya. Dan si isteri itu kemudiannya mendapat 1/8 bahagian daripada harta yang sama sebagai bahagian faraid dan bakinya akan diwarisi oleh anak lelaki dan anak perempuan atas nisbah pembahagian 2:1. Berikut adalah contoh perkiraannya:-
i) Isteri/balu = ½ bahagian harta sepencarian + 1/8 bahagian faraid;
ii) Dua orang anak lelaki = asobah (2 bahagian) ; dan
iii) Seorang anak perempuan = asobah (1 bahagian) ;
Apabila dicampur kesemua bahagian harta sepencarian dan faraid, maka kesemua waris akan menerima bahagian pesaka sebagaimana berikut:
i) Isteri/balu = 45/80 bahagian;
ii) Dua orang anak lelaki = 28/80 bahagian setiap seorang; dan
iii) Seorang anak perempuan = 7/80 bahagian.
Manakala dalam isu tuntutan harta sepencarian akibat perceraian, Mahkamah hanya akan menilai kadar sumbangan pasangan terhadap harta sepencarian tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam. Kedua-dua pihak perlu membuktikan kadar sumbangan secara langsung atau tidak langsung dalam pemerolehan harta itu. Dan Mahkamah kemudiannya akan membuat pembahagian harta sepencarian samaada mengikut pecahan peratusan atau pembahagian seperti 1/3 kepada isteri dan 2/3 kepada suami atau setiap orang mendapat 50% daripada bahagian harta tersebut.
Dalam isu poligami pula, Mahkamah akan memerintahkan supaya harta yang diperolehi bersama oleh pasangan itu dibahagikan dan direkodkan sebagai harta sepencarian. Dan pembahagian itu akan dijadikan sebagai salah satu perintah di dalam Kebenaran Poligami atau Perintah Pengesahan Poligami di bawah Seksyen 23 (10)(b) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.
Pada kebiasaannya pembahagian harta sepencarian bagi tujuan mendapatkan kebenaran untuk berpoligami atau pengesahan poligami ini dibuat secara persetujuan bersama kedua belah pihak tanpa perlu kepada perbicaraan bagi menentukan jumlah yang seharusnya diperolehi oleh kedua belah pihak tersebut.
Dalam ketiga-tiga keadaan di atas, anda perlu bijak dalam menilai jumlah yang berhak dan selayaknya dituntut sebagai harta sepencarian. Untuk itu, anda perlu melantik peguam yang mampu menasihati anda apakah dokumen dan bukti-bukti yang perlu dikemukakan bagi menyokong tuntutan anda itu. Hubungi kami untuk sesi konsultansi !.