"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Wakaf, sedekah dan infaq. Adakah anda tahu beza antara ketiga-tiganya dan apakah persamaannya?
Mengikut artikel di dalam portal rasmi Wakaf Pahang, Waqaf/wakaf adalah amalan menyerahkan harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk kegunaan umum masyarakat dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan syarat-syarat berikut:
i) Para fuqaha’ berpendapat bahawa waqaf adalah satu-satunya bentuk sedekah yang berbentuk jariah (berkekalan) kerana konsep wakaf adalah berkekalan sifatnya;
ii) Ganjaran pahala pewaqaf akan mengalir dan berkekalan selagi harta yang diwakaf boleh diambil manfaatnya; dan
iii) Harta yang diwaqafkan tidak boleh dijual, diwarisi, ditarikbalik dan diwasiatkan kerana ia menjadi milik Allah S.W.T buat selama-lamanya
manakala Sedekah pula ialah amalan menyerahkan apa-apa bentuk harta benda kepada golongan fakir, miskin, anak yatim atau orang yang berhajat dengan ikhlas kerana Allah S.W.T tanpa mengharapkan balasan. Sedekah boleh dilakukan dalam apa jua bentuk harta seperti makanan, pakaian, barangan, wang dan harta yang kekal .
Infaq juga dikatakan perbuatan yang sinonim dengan sedekah.
Walaupun wakaf dan sedekah/infaq agak berbeza terutamanya dari segi pihak penerima faedah amalan ibadah tersebut, namun umumnya ia mempunyai tujuan yang sama iaitu mencari keredhaan Ilahi dengan membelanjakan rezeki yang diberikanNya ke jalan yang Dia redhai.
Pun begitu, wakaf tidak boleh diberikan sebagaimana kita memberikan atau mengeluarkan sedekah atau berinfaq kerana di negara ini, kita mempunyai institusi khusus yang mengendalikan harta wakaf tersebut. Umpamanya di Pahang, wakaf hanya boleh dibuat kepada Majlis Agama Islam Pahang dan terikat kepada Enakmen Wakaf Pahang, 2022.
Kebiasaannya harta yang hendak diwakafkan itu melibatkan waris yang ramai dan terdapat kematian yang berlapis. Untuk itu, urusan pemberian dan pendaftaran wakaf tersebut kadang kala menjadi agak rumit dan panjang. Pihak yang mengendalikan urusan wakaf perlu mempunyai kefahaman dan kemahiran dalam urusan faraid, pentadbiran harta dan pelupusan harta pusaka supaya hasrat pemilik itu boleh disempurnakan dan dilaksanakan dengan jayanya.
Kami mempunyai pengalaman dalam mengendalikan urusan wakaf dan harta pusaka yang berkait dengan wakaf. Walaupun ianya agak sukar dan kadangkala kelihatan mustahil untuk diselesaikan, tetapi Insyaallah berbekalkan niat dan iltizam yang tinggi serta kerjasama semua pihak yang terlibat, kami percaya hasrat pemilik untuk melihat harta itu menjadi subur dan membuahkan hasil yang manis untuk kehidupan akhiratnya boleh menjadi kenyataan. Hubungi kami untuk kita sama-sama menanam saham untuk akhirat ini.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
(Surah al-Baqarah: 261)