"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Apabila berlaku perceraian, selalunya akan ada tuntutan-tuntutan lain yang akan menyusul seperti nafkah anak, hak jagaan, dan harta sepencarian. Dalam membicarakan isu nafkah anak, seringkali terjadi pihak yang menuntut terkeliru dan tidak mengetahui apakah sebenarnya bentuk nafkah yang boleh dituntut itu atau sama ada tuntutan nafkah yang dibuat itu berdasarkan suatu keperluan ('necessities') atau kemahuan ('needs') atau merupakan suatu kemewahan ('luxuries').
Pada asasnya terdapat lima perkara yang boleh dituntut sebagai nafkah anak, iaitu: tempat tinggal, belanja hidup, perubatan, pendidikan dan pakaian. Kewajipan ini ada dinyatakan di dalam Seksyen 73 (1) Enakmen Keluarga Islam (Pahang) 2005. Nafkah ini menjadi kewajipan ke atas bapa dan perlu dibayar sekiranya anak itu berada di dalam jagaan bekas isterinya selaku ibu kepada anak tersebut atau dibayar kepada mana-mana orang lain selaku penjaga anak itu.
Nafkah tempat tinggal bermaksud kos yang perlu dibayar sekiranya anak itu tinggal di rumah disewa atau asrama atau pusat jagaan yang mengenakan caj penginapan atau juga kepada penjaga yang membawa anak itu tinggal bersamanya. Begitu juga dengan perbelanjaan makan dan minum anak tersebut samaada ketika tinggal di rumah atau sebagai duit saku untuk belanja sewaktu rehat pada hari persekolahan.
Si bapa juga perlu menyediakan dan/atau mengeluarkan perbelanjaan bagi bayaran pendidikan dan keperluan persekolahan anak itu dan juga pakaian harian termasuklah persediaan perayaan. Dan akhirnya bapa itu perlu mengeluarkan belanja rawatan perubatan sekiranya anak itu menghadapi masalah kesihatan.
Setiap perbelanjaan itu perlu dinyatakan secara jelas di dalam Saman dan Pernyataan Tuntutan dan diklasifikasikan mengikut perbelanjaan harian dan bulanan serta bayaran secara berkala seperti setahun sekali atau tiga kali setahun. Sekiranya anak itu mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan secara berkala, penjaga berhak menuntut bayaran rawatan mengikut jumlah yang biasa dikeluarkan untuk setiap kali rawatan dijalankan. Namun sekiranya masalah kesihatan itu berlaku secara tiba-tiba seperti cedera akibat kemalangan atau demam biasa, maka jumlah itu hanya perlu dibayar sewaktu kos itu diperlukan, melainkan si bapa bersetuju atau Mahkamah membenarkan satu jumlah atau kos sebagai perbelanjaan rawatan sewaktu emegensi itu ditetapkan untuk dibayar oleh si bapa secara bulanan.
Dalam menilai berapakah jumlah yang perlu dibayar oleh si bapa bagi nafkah anak itu, Mahkamah akan menilai dari sudut kemampuan kewangan si bapa dan samaada bayaran yang dituntut itu wajar atau sebaliknya. Sekiranya sewaktu dalam tempoh pernikahan kedua ibu bapanya, anak itu hidup dalam kemewahan kerana si bapa seorang yang kaya atau berpendapatan tinggi atau mendapat bantuan kewangan dari isterinya, tetapi menghadapi masalah kewangan setelah berlakunya perceraian sehingga tidak lagi dapat memberikan kemewahan kepada anak itu, maka bapa itu seharusnya hanya perlu membayar nafkah mengikut status kewangannya ketika itu. Jika si ibu atau penjaga berkeras untuk kekal dalam stauts quo sebagaimana sebelum perceraian berlaku, maka si ibu itu perlu menampung kekurangan kewangan yang tidak dapat dipenuhi oleh si bapa sebagaimana sebelumnya.
Si bapa juga tidak lagi perlu menyediakan dan membayar segala yang dituntut oleh si ibu sekiranya tuntutan itu lebih kepada bentuk kemewahan atau kehendak si anak dan bukannya keperluan asasi bagi menjamin kelangsungan hidup. Sebagai contohnya bayaran untuk pembelian alat kecantikan atau pakaian di butik atau sekolah swasta atau bayaran kelas belajar alat muzik atau kelas vokal. Semua itu adalah suatu kehendak dan juga kemewahan dan bukannya keperluan yang boleh dituntut sebagai tuntutan nafkah di Mahkamah.
Si bapa pula tidak boleh membuat helah bagi mengelak dari memberikan nafkah anak dengan alasan beban atau liabiliti kewangan yang tinggi. Ada bapa yang sengaja membuat pinjaman kewangan untuk membeli aset seperti rumah, kenderaan dan sebagainya atau pengubahsuaian rumah atau membuat pinjaman peribadi supaya gaji bersih beliau menjadi kecil bagi menidakkan tuntutan pihak anak itu. Ada juga segelintir bapa yang langsung tidak menghiraukan tanggungjawab untuk membayar nafkah anak itu dan bertindak seolah-olah anak itu tidak pernah wujud di dunia ini.
Tuntutan nafkah anak seringkali menjadi isu hangat yang diperbalahkan di Mahkamah. Mungkin kerana penuntut atau peguam yang mewakili penuntut tidak faham sebenarnya maksud nafkah yang menjadi keperluan atau cara tuntutan itu dibuat yang mengelirukan. Pihak yang menuntut juga perlu sedar bahawa mereka perlu menyediakan segala bukti bagi menyokong setiap jumlah yang dituntut itu dan bukan sekadar meletak jumlah yang mereka ingini bagi anak itu. Untuk itu, kedua belah pihak perlu melantik peguam, supaya isu tuntutan itu boleh dibuat dengan kemas dan teratur dan tidak menimbulkan masalah sewaktu perbicaraan di Mahkamah kelak.
Hubungi kami sekiranya sekiranya anda adalah salah satu pihak yang terlibat dalam konflik ini. InsyaAllah kami boleh membantu.