TERPERANGKAP DALAM IKATAN PERKAHWINAN
"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Semua pasangan yang berkahwin mengimpikan sebuah rumahtangga yang aman damai, bahagia dan kekal sehingga ke akhir usia. Walaupun mereka sedar bahawa pastinya ada ranjau berduri dan risiko yang bakal dihadapi, namun tarikan kedamaian, kasih sayang dan kebahagiaan hidup berpasangan itu amat mengiurkan sehingga ianya sukar untuk ditolak dan dilepaskan begitu sahaja.
Namun, setelah memasuki alam rumahtangga, ada yang merasakan bahawa sakinah, mawaddah dan rahmah yang dijanjikan itu bukan milik mereka sebenarnya. Ketika itu, mereka rasa menyesal kerana rasa terpedaya dan terperangkap. Meronta untuk melepaskan diri dari sangkar rumahtangga yang mereka bina sendiri. Masalahnya, mereka ini hanyalah golongan HAWA yang tidak ada kuasa untuk melafazkan talaq!.
Salahkah mereka sekiranya mereka kini berubah rasa dan fikiran. Perasaan sayang dan kasih serta redho itu telah hilang dari kamus fikiran dan perasaan. Bagaimana untuk mereka melayani seorang lelaki bernama suami sekiranya hati mereka tidak merelakan segala perbuatan itu?.
Tapi sebagai seorang muslimah mereka juga takut dengan sabda Baginda Rasulullah s.a.w. di dalam hadithnya yang bermaksud:
"Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh Allah selain daripada talak." Dan: "Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atasnya bau syurga."
Bagaimana untuk mereka keluar dari ikatan suci itu sedangkan sang suami tidak menzalimi mereka. Bukan isu nafkah atau perlakuan yang tidak dapat dimaafkan, namun hanya hati yang tidak lagi dapat menerima dan menghormati. Justeru itu, mereka bimbang ketaatan akan bertukar menjadi kecurangan, hormat dan sayang hanya kepuraan semata dan bahagia bukan lagi milik mereka.
Bagi sang isteri yang merasakan mereka tidak lagi boleh memainkan peranan sebagai seorang yang boleh mentaati, menyayangi dan menjalankan tanggungjawabnya dengan telus ikhlas atau merasakan mereka tidak lagi redho untuk hidup dalam ikatan rumahtangga itu, maka Islam memberikan jalan keluar yang sebaiknya.
Allah SWT berfirman:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍۢ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا۟ مِمَّآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ شَيْـًٔا إِلَّآ أَن يَخَافَآ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا ٱفْتَدَتْ بِهِۦ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Namun sebelum anda mengambil langkah untuk mengakhiri kehidupan rumahtangga anda, berilah peluang untuk diri anda dan pasangan anda untuk mencari jalan menyusun kembali rentak hidup yang terasa canggung itu. Mungkin ianya tidak seburuk yang anda rasakan. Mungkin juga anda tidak mendapat teman yang benar-benar boleh mendengar dan memberikan nasihat yang meyakinkan anda untuk bertahan dan berjuang untuk mendapatkan kembali kebahagiaan yang telah lama hilang itu.
Bicaralah dengan kami. Mungkin kami dapat membantu anda meringankan dan meleraikan beban yang mengusutkan fikiran anda itu. Hubungi kami sekarang!.