"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Harta Sepencarian adalah harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan atau harta yang dikembangkan dalam tempoh perkahwinan. Maksud harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan adalah harta yang diperolehi dengan usaha salah satu atau kedua belah pihak setelah pasangan itu berkahwin dan bukannya harta yang diperolehi secara warisan akibat kematian ataupun diperolehi secara hibah samaada sebelum perkahwinan berlaku mahupun setelah dan dalam tempoh perkahwinan itu wujud. Harta yang diwarisi atau diperolehi secara hibah sebelum berkahwin, boleh menjadi harta sepencarian sekiranya harta itu dikembangkan dalam tempoh perkahwinan. Sebagai contohnya harta pusaka yang dibangunkan dan dimajukan dengan mendirikan rumah atau dijadikan pusat ternakan atau dibangunkan menjadi dusun buah-buahan atau ladang pertanian.
Disamping itu terdapat juga istilah harta sepencarian sumbangan bersama dan sumbangan tunggal. Secara ringkasnya sumbangan bersama antara lainnya melibatkan sumbangan dalam bentuk modal kewangan atau harta yang digadaikan atau pinjaman wang yang dibuat oleh pihak-pihak dalam memperolehi harta tersebut, manakala sumbangan tunggal adalah harta yang diperolehi hasil daripada usaha tunggal satu pihak manakala pihak yang satu lagi hanya memberikan sumbangan secara tidak langsung dalam rumahtangga itu.
Di dalam isu harta sepencarian, mahkamah akan melihat takat sumbangan kedua belah pihak dalam memperolehi harta yang dituntut itu sama ada sumbangan secara langsung ataupun tidak langsung. Pada penghujung perbicaraan, Mahkamah akan menentukan takat sumbangan pihak-pihak samaada secara peratusan ataupun mengikut kadar pembahagian seperti 1/2, 1/5 dan sebagainya.
Peruntukkan berkaitan harta sepencarian, jenis dan cara pembuktiannya ada dinyatakan di dalam Seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, 2005. Pembuktian berkaitan takat sumbangan itu perlu dibuktikan dengan jelas melalui kaedah undang-undang yang telah ditetapkan.
Oleh kerana itu anda memerlukan khidmat peguam yang faham dan mahir tentang kehendak undang-undang dan tatacara mahkamah bagi membolehkan anda memperolehi tuntutan anda ke atas harta sepencarian itu. Kami mempunyai barisan peguam yang berpengalaman dan terlatih dan sentiasa bersedia untuk membantu anda menuntut dan mempertahankan hak anda ke atas harta tersebut. Izinkan kami membantu anda !.