Wasiat Wajibah (Waris Patah Titi)
Oleh : Pn. Hazlina binti Daud
Wasiat Wajibah – suatu instrumen perwarisan yang mungkin pertama kali kita dengari. Manakala Waris Patah Titi pula mungkin suatu simpulan bahasa yang kita tidak pasti maksudnya.
Wasiat wajibah atau waris patah titi merujuk kepada hak cucu, yang kematian ibu/bapa mereka terlebih dahulu sebelum kematian datuk/nenek mereka atau meninggal serentak dengan datuk/nenek mereka, untuk mendapat bahagian faraid ibu/bapa mereka itu pada kadar maksimum sebanyak 1/3 bahagian walaupun wujud waris yang boleh menghalang hak tersebut.
Mengikut hukum faraid seseorang cucu itu akan kehilangan atau terhalang untuk mendapat harta pesaka datuk/nenek mereka sekiranya ibu/bapa mereka meninggal dunia lebih awal daripada datuk/nenek mereka itu dan terdapat waris-waris lain yang masih hidup. Anda boleh melayari laman web E-Faraid MAIS untuk mengetahui senarai waris-waris yang berhak kepada harta pusaka si mati dan perkiraan jumlah bahagian faraid yang diperolehi oleh waris-waris tersebut.
Antara waris-waris yang akan menghalang cucu daripada mendapat hak faraid datuk/nenek adalah sebagaimana berikut:-
i) Adik beradik lelaki kepada ibu/bapa;
ii) Lebih daripada seorang adik beradik perempuan kepada ibu/bapa sekiranya
ibu/bapa tiada adik beradik lelaki; dan
iii) Moyang lelaki dan moyang perempuan kepada cucu (ibu/bapa kepada
datuk/nenek) sekiranya ibu/bapa hanya ada seorang adik beradik perempuan.
Namun mengikut kaedah wasiat wajibah ini, cucu tersebut masih berhak untuk mendapatkan harta pusaka datuk/nenek melalui bahagian faraid ibu/bapa mereka tetapi tertakluk kepada kadar jumlah wasiat walaupun datuk/nenek itu tidak pernah membuat wasiat tersebut. Hak ini wujud dalam bentuk “qanuniyyah” iaitu undang-undang yang dilaksanakan melalui penghakiman Mahkamah. Ianya berbeza dengan wasiat yang ditulis atau dibuat oleh pewasiat sendiri yang bersifat atau berbentuk “ikhtiyariyah”.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-83, pada 18-24 Oktober
2008 di Kelantan telah memutuskan bahawa perlaksanaan wasiat wajibah adalah harus. Muzakarah tersebut juga telah menetapkan
syarat-syarat dalam perlaksanaan wasiat wajibah tersebut. Keputusan muzakarah tersebut boleh dilihat di laman sesawang yang
dinyatakan di sini.
Sehingga ke hari ini, terdapat beberapa negeri yang telah memperuntukkan undang-undang wasiat wajibah seperti Selangor, Negeri
Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang dan Sabah.
Untuk mendapatkan hak faraid di bawah wasiat wajibah, satu permohonan perlu dibuat di Mahkamah Syariah dengan mengemukakan segala bukti yang relevan. Anda perlu melantik peguam syarie bagi memudahkan urusan membuat permohonan tersebut. Kami bersedia membantu anda mendapatkan hak anda itu. Hubungi kami hari ini!.