"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Setiap pihak yang bertelagah di Mahkamah percaya mereka berada di pihak yang benar. Dan, kemenangan di Mahkamah akan menjadi manifestasi terhadap keyakinan mereka itu. Untuk itu mereka semampunya akan melantik peguam yang dirasakan terbaik dan diyakini boleh merialisasikan kemenangan itu.
Manakala pihak sebelah yang dinamakan sebagai Defendan itu dilihat sebagai musuh yang zalim dan perlu dijatuhkan. Untuk itu mereka memerlukan peguam yang keras, tegas, ganas dan tidak berhati perut. Mereka yakin bahawa hanya dengan jalan itu, mereka akan merasa puas dan terbela.
Peguam dilihat seperti ayam sabung yang tugasnya untuk berlawan dan menang. Peguam bukan sahaja perlu bertindak ganas kepada lawannya iaitu Defendan, malahan juga terhadap peguam yang mewakili dan membela Defendan tersebut. Oleh itu, peguam beliau tidak seharusnya berlembut hati, bermanis muka malahan haram untuk berbicara dengan peguam Defendan itu. Mereka seharusnya berkongsi rasa dan musuh dalam menghadapi pihak sebelah dan semua orang yang bersekutu dengannya.
Tapi sayangnya, peguam bukan macam itu!. Tugas peguam adalah mencari dan menegakkan kebenaran. Mereka bukan ayam sabung yang tidak berakal kerana telah dilatih dan di'brain wash' untuk melihat semua kaum sejenisnya sebagai musuh. Tetapi peguam adalah bapa ayam yang hanya akan bertindak apabila keadaan memaksa.
Bagi setiap peguam, mereka berlawan di Mahkamah atas dasar prinsip dan kepercayaan masing-masing bahawa anakguam mereka berada dipihak yang benar. Dan semua itu akan dibuktikan di dalam Mahkamah. Mereka faham bahawa setiap orang mempunyai persepsi dan fahaman mereka sendiri tentang bagaimana sesuatu kes itu perlu dinilai dan mereka boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Semua persengketaan itu akhirnya akan diserahkan kepada Mahkamah untuk diadili. Mereka hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin untuk membuktikan dakwaan dan tuntutan anakguam mereka itu.
Peguam telah dididik untuk tidak mempunyai sebarang perasaan marah atau dendam sesama mereka. Dan pertikaian di Mahkamah tidak seharusnya dibawa sehingga keluar Mahkamah dan mengganggu emosi mereka sehingga menyebabkan mereka tidak boleh untuk berbaik dengan peguam bagi pihak sebelah. Kerana itu anda melihat peguam anda dan peguam pihak sebelah boleh berbual mesra di Mahkamah sebelum kes bermula dan kemudiannya berdebat hebat sewaktu perbicaraan. Dan kemudiannya boleh minum pula semeja setelah tamat kes tersebut. Malahan ada peguam bagi Plaintif dan Defendan menaiki kereta yang sama untuk ke Mahkamah sedangkan mereka akan berlawan sekejap lagi untuk kes yang sama.
Anda seharusnya faham bahawa peguam dilatih untuk bersikap profesional. Mereka tidak akan berbincang dan membangkitkan isu di dalam kes itu dengan peguam sebelah dimana-mana tempat melainkan di dalam Mahkamah ataupun dalam sesi perbincangan rasmi antara kedua belah pihak. Dan mereka faham bahawa yang bertelingkah tentang fakta dan emosi adalah anakguam mereka dan bukannya mereka. Sedangkan mereka hanya bertelingkah dan berbicara isu prinsip undang-undang dan bukti yang seharusnya dikemukakan oleh setiap pihak yang menuntut hak di bawah undang-undang itu.
Peguam yang bijak dan mempunyai prinsip, tidak akan menjual prinsipnya hanya kerana duit!. Mereka akan menilai segala fakta yang diceritakan dan kemudiannya memberikan nasihat guaman dengan jujur dan ikhlas. Sekiranya anakguam itu ternyata dianiayai, maka mereka akan menunjukkan jalan bagaimana penyelesaian mengikut undang-undang itu boleh dicapai. Dan sekiranya anakguam itu tersalah sangka dan sebenarnya berada di pihak yang salah, maka mereka akan memperbetulkan salah tanggapan anakguam tersebut dan menasihati bagaimana untuk anakguam itu memperbetulkan keadaan yang salah itu. Lebih daripada itu, peguam itu seharusnya tidak gentar sekiranya bakal anakguam itu tidak berminat untuk melantik beliau bagi mengendalikan kes itu hanya kerana beliau tidak bersetuju dengan bakal anakguamnya itu.
Kita perlu sedar bahawa sekiranya kita melantik peguam yang akan mengikut kehendak kita walaupun kita berada di pihak yang salah, hanya kerana kita sanggup membayar jumlah yang besar kepada peguam tersebut, akhirnya kita akan merasai kesan buruk tindakan kita itu. Kita juga perlu faham bahawa, setiap peguam telah dilatih untuk mengidu sebarang pembohongan, membiarkan pembohongan itu berkembang dan membengkak dan kemudiannya membuat kita merasai pedih dan malu apabila pekung kita itu dipecahkan.