"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Apabila seseorang muslim/ah itu meninggal dunia, kebiasaannya sedikit sebanyak beliau ada meninggalkan harta pesaka samaada wang simpanan, tanah dan/atau rumah, syarikat perniagaan, perkakasan rumah atau pertukangan, kenderaan dan juga pakaian. Sekiranya tiada wasiat yang dibuat sewaktu hidup si mati atau dokumen-dokumen bukti pelupusan harta yang masih belum sempat disempurnakan seperti wakaf, jualbeli, letak hak dan sebagainya, harta itu perlu dibahagikan antara waris yang berhak samaada mengikut kaedah faraid atau pembahagian mengikut perbincangan dan persetujuan. Walaupun perkiraan bahagian waris-waris mengikut kadar faraid mudah diketahui dengan merujuk kepada laman sesawang seperti https://efaraid.mais.gov.my, https://www.maij.gov.my/, https://masjidnetwork.my/faraid dan sebagainya, namun ianya hanyalah sekadar rujukan sahaja.
Sekiranya si mati ada meninggalkan wang tunai atau menamakan penerima bagi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan/atau Amanah Saham, maka harta pesaka tersebut boleh dilupuskan dengan segera dan tanpa melalui prosiding bicara pesaka yang remeh dan memenatkan. Namun, sekiranya harta pesaka si mati itu terdiri daripada harta alih yang tidak boleh dicairkan selepas pemergian si mati seperti wang di dalam akaun simpanan, saham-saham pelaburan, KWSP tanpa penama, kereta, motor, syarikat dan sebagainya atau harta tak alih seperti tanah lot, tanah ladang dan rumah, maka harta pesaka itu tidak mungkin boleh diperolehi dan diserahkan kepada waris-waris tanpa pemerolehan Surat Kuasa Mentadbir terlebih dahulu.
Lantikan Pentadbir boleh dibuat melalui permohonan bicara pusaka di Pejabat Pusaka Kecil ataupun melalui permohonan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah Tinggi Sivil. Perbezaan antara keduanya adalah dari segi bidang kuasa mengikut jumlah harta pusaka si mati. Pejabat Pusaka Kecil hanya mempunyai bidang kuasa yang terhad kepada jumlah maksimum sebanyak RM2,000,000.00 sahaja sedangkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi adalah tidak terhad jumlahnya. Meskipun begitu, Mahkamah Tinggi hanya boleh melantik Pentadbir dan membenarkan pelupusan harta mengikut permohonan waris-waris tetapi tidak mempunyai kuasa untuk membuat perkiraan faraid dan mengeluarkan Sijil Faraid. Untuk itu waris-waris perlu pula memfailkan permohonan bagi mendapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah sebelum permohonan pelupusan harta pusaka boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil. Sedangkan Pejabat Pusaka Kecil bukan sahaja boleh melantik Pentadbir, tetapi juga mempunyai kuasa untuk membuat kiraan faraid disamping mengeluarkan perintah pelupusan harta pusaka si mati samaada mengikut kaedah faraid ataupun secara persetujuan.
Dari segi kos pemfailan dokumen, ternyata kos di Mahkamah Tinggi adalah lebih besar berbanding kos yang perlu dikeluarkan di Pejabat Pusaka Kecil. Disamping itu, waris juga perlu mengeluarkan kos tambahan untuk permohonan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah. Itu belum lagi dikira kos guaman bagi melantik peguam, kerana permohonan Surat Kuasa Mentadbir perlu dibuat dengan menggunakan khidmat peguam sivil.
Namun, sekiranya diukur dari segi masa yang diambil untuk menyelesaikan isu pusaka si mati, ternyata prosiding yang diambil di Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Syariah jauh lebih mudah dan cepat berbanding di Pejabat Pusaka Kecil. Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa prosiding pusaka di kedua Mahkamah itu boleh diselesaikan sebelum waris-waris mendapatkan tarikh bicara di Pejabat Pusaka Kecil.
Oleh itu, sekiranya si mati mempunyai wang simpanan atau harta yang boleh dicairkan (dengan cara jualan) bagi menampung kos Mahkamah dan kos guaman, waris-waris adalah digalakkan untuk melantik peguam bagi mengendalikan segara urusan harta pusaka tersebut berbanding membuat permohonan melalui Pejabat Pusaka Kecil.
Namun, sekiranya waris-waris berfikir bahawa rugi melantik peguam sedangkan permohonan itu boleh dibuat sendiri dengan kos yang jauh lebih murah, dan prosiding pusaka di Pejabat Pusaka Kecil tidaklah seteruk sebagaimana yang dibayangkan, maka, tak rugi mencuba.... Mungkin betul telahan anda itu. Mungkin pengalaman pahit itu hanya dialami oleh sebilangan kecil waris-waris sahaja. Apa yang boleh kami katakan ialah, "Good Luck, semoga dipermudahkan.....".