"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Umpama permata yang baru dijumpai, pembuatan hibah telah menjadi satu gelombang baru dalam pentadbiran harta yang melanda masyarakat Islam di negara ini. Antara alasan utama untuk membuat hibah adalah kerana ada pasangan yang tidak mempunyai anak lelaki bimbang kebajikan anak perempuan mereka tidak akan dijaga dengan baik oleh adik beradik mereka yang akan turut mewaris harta pesaka mereka setelah ketiadaan mereka nanti. Mereka juga bimbang perkara yang sama akan berlaku setelah ibubapa mereka iaitu datuk dan nenek kepada anak mereka itu meninggal dunia dan digantikan dengan waris-waris yang sama. Mereka tidak ingin dan merasa sedih memikirkan harta yang ditinggalkan itu terpaksa dijual untuk memberikan hak kepada waris-waris dan akhirnya anak tersebut terpaksa tinggal di rumah kebajikan atau mengharapkan belas ikhsan untuk menumpang di rumah ibubapa sedara mereka sehingga anak itu dewasa. Oleh itu mereka percaya hibah adalah jawapan terbaik untuk mengelakkan perkara itu dari terjadi walaupun ianya akan menafikan hak ibubapa mereka sendiri terhadap harta mereka itu.
Namun, mereka juga khuatir akan menjadi mangsa dibuang oleh anak sendiri setelah mereka menghibahkan harta itu atau ianya akan digadaikan dan dijual oleh anak tersebut, sedangkan itulah rumah tempat mereka berlindung sebelum ajal mendatang. Bagi mengelakkan kedua-dua insiden itu berlaku, mereka telah dinasihatkan oleh "peguam yang bijak" untuk membuat hibah bersyarat yang mana hibah tersebut hanya akan berkuatkuasa setelah mereka meninggal dunia.
Tapi benarkah hibah sedemikian boleh dibuat????.
Hibah adalah satu instrumen penyerahan harta yang dilakukan sewaktu hidup pemilik harta tersebut. Pertukaran hakmilik atau setidak-tidaknya kuasa dalam mengendalikan harta tersebut perlu dibuat sewaktu hidup pemberi dan pemilik asal harta itu lagi. Ianya akan bertukar menjadi wasiat sekiranya penerima mendapat hak ke atas harta tersebut setelah kematian pemiliknya.
Walaupun terdapat hibah bersyarat yang dikenali sebagai Umra dan Ruqba diamalkan pada zaman Rasulullah s.a.w, namun syarat yang diletakkan pada hibah tersebut tidak diakui oleh baginda. Ia bermaksud harta yang dihibahkan itu tidak akan kembali menjadi milik pemberi setelah ianya diserahkan kepada penerima. Rasulullah s.a.w. juga tidak membenarkan hibah diberikan kepada seorang waris dan menafikan hak waris-waris yang lainnya.
Walaupun ianya nampak mudah untuk dilaksanakan, namun tanpa kaedah yang betul, ianya mungkin tidak boleh disahkan oleh undang-undang. Terdapat beberapa rukun dan syarat serta peruntukkan undang-undang yang perlu dipatuhi dalam memastikan hibah yang hendak dibuat itu boleh dilaksanakan dengan jayanya. Kami boleh membantu anda menyempurnakan hasrat dalam membuat hibah tersebut selaras dengan peruntukkan undang-undang dan hukum syarie. Hubungi kami hari ini.