"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Sebuah ikatan yang menuntut kebijaksanaan, kasih sayang, komitmen dan pengorbanan untuk sebuah kebahagiaan
Rumahtangga bukanlah suatu perangkap sebuah kehidupan. Dan kebahagiaan juga bukanlah suatu mitos yang digembar gemburkan. Alam rumahtangga perlu dimasuki dengan bekal yang rapi bukannya dengan harapan dan emosi serta tawakkal tanpa ilmu dan agama. Tanpa sebarang sebarang persediaan, perjalanan hidup berumahtangga pastinya akan menjadi begitu rumit dan memenatkan.
Kebahagiaan.... suatu impian yang didambakan oleh setiap insan dari sebuah ikatan perkahwinan. Keputusan untuk bersatu hati dalam sebuah ikatan murni, diharap menjadi permulaan kepada sebuah kehidupan yang sempurna. Walaupun mereka tahu akan ada onak dan ranjau sepanjang perjalanan, namun mereka yakin semua itu pasti dapat diatasi dengan kasih sayang dan cinta yang mendalam. Untuk itu mereka cekal mempertaruhkan masa hadapan dan jiwa raga demi bersama orang tercinta. Walaupun terpaksa meredah sempadan, lari dari semua sedara dan kenalan, hanya untuk bergelar seorang isteri, semua itu mereka relakan.
Hidup berpasangan..... bagi yang berpengalaman, mereka tahu dan sedar nilai yang perlu dipertaruhkan untuk mendakap perasaan bahagia itu. Walaupun ada kalanya ia hanyalah sekadar fatamorgana, namun nikmatnya umpama dadah yang membawa kepada ketagihan. Itulah sebabnya mereka tidak pernah kecewa untuk memulakan berkali-kali walaupun sering dikecewakan. Mereka sanggup berkongsi kasih asalkan dapat menumpang teduh di bawah lindungan seorang lelaki bernama suami.
Namun, disebalik cerita sepasang kekasih itu, ada juga jiwa yang sengsara. Menjadi mangsa kecurangan orang yang diharapkan menjadi pembela dan tunjang kehidupan. Perlukah mereka menjadi korban demi sebuah kebahagian?. Bukankah kebahagiaan itu milik hakiki mereka dan bukannya untuk dikongsikan dengan kaum yang sama?.
Bicara dengan kami
Andai anda terasa menjadi mangsa kepada kehidupan berumahtangga. Sesal kerana memasuki alam itu dengan langkah kiri. Merasa bahawa jalan ke masa hadapan makin sempit dan kelabu. Yakinlah, anda masih belum terlewat. Walaupun sinar bahagia itu seakan telah lama hilang, namun selagi nyawa dikandung badan, cahaya itu tetap ada disebalik awan. Anda hanya perlu mulakan semula dengan langkah yang baru....
Atau, anda kecewa dengan pengorbanan yang selama ini dilakukan akhirnya dibalas dengan sebuah pengkhianatan. Dan kini anda merasa lemas.... Haruskah semuanya berakhir sebagai mimpi ngeri atau sebuah tragedi?. Atau perlukah anda perjuangkan harga diri yang tidak dihargai lagi?.
Yakinlah. Anda terlalu hebat dan kuat untuk mengalah dengan begitu cepat! Cerita hidup anda masih panjang dan kanvas kehidupan anda masih banyak kosong untuk diwarnai. Anda tidak perlu berhenti di sini. Bungkam dek ujian kehidupan. Izinkan kami membantu anda untuk bangkit semula. Menyusun langkah dengan sisa kekuatan yang ada. Walaupun kami tidak boleh menjanjikan sebuah kebahagiaan, tapi berbekalkan ilmu dan pengalaman, kami yakin boleh membantu anda meringankan beban penderitaan yang sedang dialami. Insyaallah ....