"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Faraid adalah pembahagian harta pusaka mengikut perkiraan yang telahpun ditetapkan oleh Syarak sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam Surah Al-Nisa ayat 7, 11, 12 dan 176. Pembahagian faraid hanya berlaku setelah segala tanggungjawab dan liabiliti melibatkan harta pusaka itu diselesaikan terlebih dahulu oleh waris atau pentadbir harta pusaka tersebut. Bermaksud sekiranya terdapat isu harta sepencarian, wasiat, wakaf, hibah atau hutang dan badal haji, maka segala urusan itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian faraid boleh dilaksanakan.
Permasalahan bersangkutan faraid sering timbul apabila pembahagian tersebut tidak dilaksanakan setelah kematian pemilik harta itu, tetapi setelah kematian beberapa orang waris kepada harta yang sama. Perkiraan faraid melibatkan beberapa kematian dikenali sebagai pembahagian faraid berlapis atau munasakhat. Selalunya masalah faraid timbul apabila ianya melibatkan beberapa keturunan dan keluarga yang telah berkembang biak. Kesukaran mencari maklumat dan dokumen serta mencari jalan penyelesaian terbaik menjadikan urusan pembahagian tersebut terbengkalai begitu sahaja.
Isu terkini melibatkan harta pusaka adalah tuntutan bahagian faraid oleh waris kepada anak lelaki simati yang meninggal sebelum kematian pemilik harta itu sendiri. Ianya dikenali sebagai wasiat wajibah. Menerusi kaedah ini cucu berhak mendapat harta pusaka datuk atau nenek walaupun ibu atau bapa yang merupakan anak kepada datuk dan neneknya itu telah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum kematian datuk atau neneknya.
Menguruskan harta pesaka dengan pelbagai masalah sememangnya membebankan dan memerlukan kesabaran yang tinggi dan kebijaksanaan. Namun kesukaran itulah suatu keterujaan bagi kami. Kami percaya bahawa berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang kami ada, insyaallah kami boleh menyelesaikan segala tuntutan dan permasalahan faraid tersebut dengan baik. Rujuk masalah anda kepada kami, insyaallah kami boleh membantu.