"....... BERILAH SETIAP YANG MEMPUNYAI HAK ITU AKAN HAKNYA" - Petikan Hadith
Ramai dikalangan masyarakat awam yang tidak mengetahui apakah itu Surat Kuasa Wakil atau Power Of Attorney. Dokumen ini biasanya dibuat dan dikehendaki untuk ditandatangani oleh pemilik berdaftar sesuatu harta tanah apabila pemilik berdaftar hartanah tersebut berhasrat untuk menggadaikan hartanahnya itu bagi tujuan mendapatkan sedikit wang ataupun bertujuan untuk memajukan tanahnya itu. Pemilik hartanah selalunya percaya bahawa pemegang kuasa yang beliau namakan di dalam Surat Kuasa Wakil itu akan melaksanakan kuasa yang diberikan dengan jujur dan amanah tanpa membaca dan meneliti isi kandung Surat Kuasa Wakil yang beliau tandatangani itu. Akibat daripada itu, hartanah tersebut akhirnya tergadai dan menjadi hakmilik pihak ketiga tanpa balasan yang setimpal kepada pemilik asal hartanah tersebut.
Surat Kuasa Wakil sebenarnya adalah satu instrumen untuk memberikan dan memindahkan kuasa yang ada pada pemilik asal hartanah tersebut kepada pihak ketiga yang dinamakan sebagai penerima/pemegang kuasa. Dengan kuasa yang diberikan itu, pemegang kuasa berhak untuk melakukan sebarang tindakan yang dinyatakan dalam Surat Kuasa itu walaupun tanpa pengetahuan, makluman atau persetujuan pemilik asal sebelum tindakan itu dilaksanakan. Dan segala yang dilakukan oleh Pemegang Kuasa itu akan mengikat pemilik asal seolah-olah tindakan itu dilakukan oleh pemilik asal itu sendiri.
Sebenarnya Surat Kuasa Wakil boleh dipecahbahagikan kepada beberapa kategori yang melibatkan kuasa penuh atau tugasan khas sahaja, tiada tempoh masa yang mengikat atau hanya untuk tempoh masa yang terhad dan boleh dibatalkan atau kekal berkuasa selamanya.
Oleh itu, sebelum membuat sesuatu Surat Kuasa Wakil, anda perlu maklum terlebih dahulu samaada anda berhasrat untuk memberikan kuasa penuh untuk melakukan segala urusan berkaitan harta itu seperti membuat pecah bahagian/sempadan, memajukan, menjual, menggadai, memajakkan, menyewakan dan sebagainya atau hanya untuk melaksanakan tugasan yang tertentu sahaja seperti menyempurnakan urusan pecah sempadan dan menyerahkan lot-lot tanah tersebut kepada penama-penama yang telah ditentukan atau selainnya.
Keduanya anda perlu memastikan bahawa kuasa yang diberikan itu untuk tempoh yang terhad atau tiada tempoh masa yang ditentukan. Ini kerana sekiranya ianya melibatkan suatu tempoh masa yang tertentu, maka pemegang kuasa itu tidak lagi berkuasa untuk meneruskan urusan yang dibenarkan itu setelah tamatnya tempoh masa yang diberikan walaupun kerja-kerja itu belum berjaya disempurnakan.
Begitu juga anda perlu menentukan samaada kuasa yang diberikan itu akan luput dengan sebab-sebab tertentu seperti kematian pemegang kuasa atau anda sendiri selaku pemilik atau kebankrapan atau kegilaan dan lain-lain hal yang boleh menimpa salah seorang atau kedua belah pihak. Atau semua kejadian yang menimpa itu tidak akan membatalkan kuasa yang diberikan itu. Kebiasaannya Surat Kuasa Wakil yang tidak boleh dibatalkan tertumpu kepada kejadian yang menimpa pemberi kuasa sahaja dan mengikut Akta Surat Kuasa Wakil, 1949 ianya hendaklah berdasarkan suatu balasan berharga yang diberikan kepada pemberi/pemilik harta tersebut . Walaubagaimanapun Surat Kuasa yang tidak boleh dibatalkan itu masih boleh dibatalkan dengan persetujuan penerima kuasa.
Satu lagi perkara yang penting adalah Surat Kuasa Wakil tersebut hanya akan berkuatkuasa setelah ianya didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan di Pejabat Tanah. Pemegang Kuasa mempunyai kuasa yang sah untuk menandatangani apa-apa dokumen transaksi melibatkan hartanah tersebut hanya setelah Surat Kuasa Wakil itu didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan urusan pindahmilik, pajakan atau gadaian hanya boleh didaftarkan di Pejabat Tanah setelah perserahan Surat Kuasa Wakil itu disempurnakan di Pejabat Tanah. Sekiranya berlaku kematian di pihak pemberi kuasa sebelum Surat Kuasa Wakil itu didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah, maka Pemegang Kuasa tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara-perkara yang telah diberikan itu walaupun Surat Kuasa Wakil itu telah dimatikan setem sebelum pemberi kuasa menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Oleh yang demikian, sebelum anda menandatangani apa-apa Surat Kuasa Wakil, pastikan anda diterangkan satu persatu kuasa yang diberikan atau diturunkan kepada pemegang kuasa itu. Dan kemudiannya, anda harus menandatangani setiap muka surat Surat Kuasa Wakil tersebut, supaya tiada pindaan yang tidak diingini dan tanpa pengetahuan serta persetujuan anda dibuat setelah dokumen tersebut ditandatangani. Dan akhirnya, pastikan anda diberikan satu salinan Surat Kuasa Wakil yang telah dimatikan setem dan didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah. Dan selebihnya, berdoalah semoga penerima kuasa itu seorang yang amanah dalam menjalankan tugas yang diberikan itu .
Sebaiknya lantiklah peguam yang boleh menasihati anda dalam setiap perkara dan sebelum anda membuat keputusan menyerahkan hak dan kuasa anda itu kepada pihak ketiga. Jangan bergantung kepada peguam yang disarankan oleh pihak ketiga tanpa anda mengenali dan mendengar penjelasan daripada peguam itu terlebih dahulu. Dan yang paling penting adalah memastikan apa sahaja yang dinyatakan oleh peguam adalah selari dengan kehendak anda, serta dinyatakan dengan jelas dan terang di dalam Surat Kuasa Wakil tersebut. Semoga bermanfaat! ..... Sekian.